Pengendali lebuhraya terbesar negara, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaungkan komitmennya untuk terus memastikan tahap keselamatan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) yang merangkumi laluan Jalan Duta – Bukit Raja serta semua lebuhraya kendaliannya berada pada tahap terbaik menerusi pendekataan 3E dalam usaha menjaga pelanggan lebuhraya sepanjang perjalanan mereka.
Setiap hari (sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dilaksanakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya), kira-kira 500,000 kenderaan menggunakan NKVE daripada kira-kira 1.5 juta di seluruh rangkaian lebuhrayanya dan jumlah yang besar ini memerlukan PLUS untuk menggunakan satu pendekatan yang berkesan untuk menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan mereka.
Berdasarkan rekod PLUS, jumlah kemalangan yang dicatatkan di laluan di antara KM0.6 hingga KM13.9 (laluan Bukit Raja – Subang) di NKVE sejak 2016 hingga Jun 2020 adalah sebanyak 1,838 kes. Jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding 6,363 kes sepertimana yang dilaporkan sebelum ini. Data tersebut merangkumi kemalangan maut, kemalangan kecederaan parah, kemalangan kecederaan ringan dan kemalangan yang hanya menyebabkan kerosakan kenderaan. Ia juga tidak melibatkan insiden langgar lari.
Formula 3E yang dilaksanakan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi kunci utama kejayaannya diiktiraf sebagai pengendali lebuhraya sistem tertutup yang paling selamat di negara ini oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) baru-baru ini. 3E yang merangkumi aspek kejuruteraan (Engineering), Penguatkuasaan (Enforcement) serta pendidikan (Education) yang digunapakai oleh PLUS turut menyaksikan penurunan jumlah kemalangan yang berlaku di lebuhraya kendaliannya secara konsisten sejak tahun 2017.
Kejuruteraan Untuk Tingkat Keselamatan Di Lokasi Kemalangan
Pendekatan Kejuruteraan memfokus kepada penggunaan aplikasi teknologi terbaru untuk meningkatkan keselamatan seperti turapan jalan, penghadang jalan, peralatan keselamatan jalan raya dan mengaplikasikan teknologi video analitik.
Melalui inisiatif kejuruteraannya, PLUS telah memastikan ke semua lebuhraya kendaliannya mencapai 3-bintang dalam Standard Penilaian iRAP.
PLUS telah membuat pelbagai penambahbaikan di beberapa lokasi kritikal seperti membaik pulih turapan jalan dengan ‘anti-skid surface coating’, pemasangan lampu amaran, mengaplikasikan garisan penanda jalan jenis ‘Vibraline’, memasang pemantul cahaya, papantanda amaran dan sebagainya.
Sebagai contoh, di laluan Ipoh-Kuala Kangsar PLUS telah mengadakan penambahbaikan aspek kejuruteraan seperti pemasangan pengadang jalan konkrit, ‘rumble strips’ dan sebagainya untuk meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit.
Pada masa yang sama, PLUS turut mengadakan kajian dan melaksanakan pemasangan lampu-lampu jalan LED di lokasi-lokasi yang kritikal seperti laluan Jelapang-Terowong Menora dan Changkat Jering-Hentian Sebelah Bukit Gantang bagi meningkatkan tahap keselamatan di laluan terbabit.
Penguatkuasaan oleh JPJ dan Polis Tingkat Keselamatan
Enforcement (Penguatkuasaan) pula merujuk kepada kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Penguatkuasaan Awam Darat dan lain-lain agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap undang-undang keselamatan jalan raya.
Sepanjang tahun 2019, sebanyak 96 Ops Halangan telah dilaksanakan oleh PLUS dan agensi-agensi berkaitan dalam usaha mengesan kenderaan berat yang membawa muatan secara berbahaya di samping tahap keselamatan tayar yang digunakan. Operasi bersepadu ini turut dikendalikan sebagai langkah awal membendung kejadian muatan atau halangan yang terjatuh di lebuhraya yang mendatangkan bahaya kepada pengguna lebuhraya.
Selain daripada itu, PLUS juga telah menyediakan 3 buah stesen penguatkuasa JPJ di R&R Dengkil, Gunung Semanggol dan Pagoh bagi memudahkan pihak JPJ untuk mengendalikan operasi pencegahan dan penguatkuasaan di lebuhraya. Terbaru, PLUS turut menyediakan pejabat operasi Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR) JPJ di bekas tapak plaza tol Jelapang di Ipoh untuk memudahkan operasi penguatkuasaan dan meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya kendaliannya.
PLUS turut bekerjasama dengan pihak JPJ untuk memasang lebih banyak kamera AWAS di 4 lokasi terpilih yang baru di lebuhrayanya untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh pemandu yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
PLUS turut berkolaborasi dengan pihak PDRM menerusi sumbangan kenderaan rondaan di lebuhraya serta menyediakan pejabat Unit Rondaan Lebuhraya (EMPV) di semua pejabat seksyen di sepanjang lebuhraya kendaliannya. Pada ketika ini, terdapat 20 pejabat EMPV di sepanjang lebuhraya.
Pendidikan untuk Kesedaran Keselamatan
Sementara itu, Education (Pendidikan) pula terdiri daripada penganjuran program-program meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya seperti memperkenalkan program Expressway Operation Safety Passport (EOSP). Sehingga pada hari ini, seramai 12,500 petugas dan kontraktor yang menjalankan tugas di lebuhraya telah menyertai program EOSP. Hasilnya, EOSP telah berjaya merekodkan pengurangan jumlah kematian melibatkan petugas di lebuhraya sebanyak 75%. PLUS amat bangga kerana Program EOSP yang telah diperkenalkan oleh PLUS pada tahun 2018 kini telah diperakui dan diperluaskan ke seluruh industri lebuhraya di negara ini
PLUS juga secara berterusan mengadakan pelbagai program-program kesedaran keselamatan yang membabitkan komuniti di sekitar jajaran lebuhraya untuk sama-sama meningkatkan tahap keselamatan serta mengatasi isu-isu keselamatan yang unik di lokasi-lokasi yang berlainan di lebuhraya seperti vandalisme, lumba haram, haiwan ternakan dan sebagainya. Di antara tahun 2018 dan 2019, sebanyak 46 program keselamatan berteraskan komuniti telah dianjurkan oleh PLUS di sepanjang rangkaian lebuhrayanya.
Selain itu, PLUS turut aktif mendidik orang ramai tentang keselamatan lebuhraya menerusi Facebook, Twitter dan sebagainya.
Statistik Buktikan Tahap Keselamatan di PLUS
Sejak tahun 2017, pendekatan-pendekatan yang digunapakai oleh PLUS telah berjaya menyaksikan penurunan jumlah insiden trafik (kemalangan) di lebuhraya kendaliannya.
Pada tahun 2016, sebanyak 521,466 insiden trafik direkodkan di seluruh negara di mana hanya 14,532 atau sebanyak 2.8 peratus berlaku di Lebuhraya PLUS. Peratusan tersebut telah menurun kepada 2.7 peratus pada tahun 2017 dan kemudiannya kepada hanya 2.4 peratus pada tahun 2018 dan 2019 walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah insiden trafik di seluruh negara. Secara purata, di antara tahun 2013 hingga 2019, hanya 2.6 peratus insiden trafik yang berlaku di seluruh negara berlaku di lebuhraya PLUS. Ini membuktikan perjalanan menggunakan lebuhraya PLUS adalah lebih selamat berbanding laluan-laluan lain di negara ini.
Di laluan Jalan Duta-Bukit Raja (NKVE), pelbagai pendekatan telah diambil oleh PLUS untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keselesaan. Di antaranya adalah memasang lampu-lampu jalan di sepanjang laluan terbabit. Berdasarkan rekod PLUS, jumlah kemalangan di NKVE telah menyaksikan penurunan secara konsisten sejak tahun 2017.
Audit Keselamatan Jalan Raya
Bagi memastikan tahap keselamatan lebuhraya sentiasa berada pada tahap yang optimum pada setiap masa, PLUS turut mengadakan audit keselamatan jalan raya dari masa ke masa. Kajian serta maklumat yang diperolehi menerusi audit yang dijalankan ini membolehkan PLUS untuk mengambil langkah-langkah penambaikan untuk memastikan lebuhraya sentiasa selamat untuk pelanggan.
Berdasarkan rekod, sesi audit yang terakhir telah diadakan pada 2019 dan ia mendapati PLUS berada pada tahap yang terbaik.
Pengiktirafan Antarabangsa Keselamatan Jalan Raya
PLUS juga merupakan syarikat pengendali lebuhraya di Asia yang pertama memenangi anugerah antarabangsa keselamatan jalan raya iaitu ‘Prince Michael International Road Safety Award’ berikutan kejayaan PLUS melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya pada tahun 2019. Anugerah ini telah membuktikan bahawa PLUS diiktiraf sebagai lebuh raya bertaraf dunia yang mematuhi ciri-ciri keselamatan yang tinggi di peringkat antarabangsa. Ini mengesahkan bahawa PLUS ialah sebuah organisasi yang mengutamakan dan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan. Pencapaian peringkat antarabangsa ini mengiktiraf komitment serta pelbagai pendekatan PLUS dalam usahanya meningkatkan tahap keselamatan di lebuhraya.
Di antara inisiatif yang telah diambil oleh PLUS adalah memperkenalkan penggunaan Safety Vehicle atau Kenderaan Keselamatan untuk mewujudkan zon selamat sementara untuk membolehkan kerja-kerja pengalihan objek atau halangan dilakukan oleh petugas lebuhraya dalam persekitaran yang lebih selamat dan sebagainya.
Di antara penerima anugerah utama Prince Michael Award sejak beberapa tahun lalu termasuklah Institut Pendidikan Lalu Lintas Jalan Raya (India), Program Penilaian Kereta Baru Global (Global NCAP), Yayasan Keselamatan Jalan Raya (UK), Royal Dutch Shell, Volvo, Schlumberger dan Kumpulan Nestle.
Terbaru PLUS telah mendapat kedudukan pertama bagi lebuh raya sistem tertutup berprestasi terbaik dari segi keselamatan dan keselesaan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Kedudukan lebuh raya berprestasi terbaik adalah berdasarkan indeks kematian yang rendah serta reka bentuk persekitaran dan operasi trafik yang optimum dari aspek keselamatan jalan raya. Lebuh raya yang berada di kedudukan teratas mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah di lebuh raya.
PLUS juga telah berjaya memperolehi pengiktirafan antarabangsa ISO39001:2013 bagi Pengurusan Keselamatan Jalan Raya. Ia adalah langkahnya untuk mentransformasikan keselamatan jalan raya secara bersepadu dengan inovatif dan sistem pengurusan trafik yang direka untuk memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan piawaian keselamatan global; ISO39001. ISO39001 memberi tumpuan khusus mengurangkan risiko insiden trafik yang membabitkan kematian dan kecederaan agar selaras dengan matlamat PLUS untuk menjadikan perjalanan lebuh raya lebih selamat dan lebih selesa kepada semua pengguna setiap masa
Matlamat PLUS adalah untuk menjaga pelanggan dengan baik sepanjang perjalanan mereka. Menerusi pendekatan 3E, PLUS berupaya untuk menambahbaik aspek keselamatan dan keselesaan pelanggan bertepatan dengan pengiktirafan antarabangsa serta kajian dan penilaian badan keselamatan jalan raya di negara ini.