PLUS MALAYSIA BERHAD

Media Releases
Home > Media > KEMALANGAN REMPUHAN KENDERAAN KETIKA PENGGUNA BERTEDUH DI LEBUH RAYA: PLUS NASIHAT PENUNGGANG MOTORSIKAL BERKUMPUL DAN BERTEDUH DI BELAKANG REL PENGHADANG

KEMALANGAN REMPUHAN KENDERAAN KETIKA PENGGUNA BERTEDUH DI LEBUH RAYA: PLUS NASIHAT PENUNGGANG MOTORSIKAL BERKUMPUL DAN BERTEDUH DI BELAKANG REL PENGHADANG

IMG-20180421-WA00317020PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merujuk kepada satu kemalangan yang melibatkan sekumpulan penunggang motorsikal yang berteduh di bawah jambatan di laluan Senawang-Port Dickson hari ini.

PLUS melahirkan rasa kesal dan sedih atas kejadian tersebut dan mengambil peluang ini untuk memberi penjelasan yang lebih lanjut tentang insiden terbabit.

Berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian tersebut berlaku pada jam 2:03 petang di KM258.3 di laluan Senawang-Port Dickson di Lebuhraya Utara-Selatan. Siasatan awal kami mendapati kejadian rempuhan tersebut berpunca daripada perlanggaran 2 buah kereta dengan 4 buah motorsikal di Lorong Kiri sebelum kenderaan terbabit terbabas dan merempuh sekumpulan penunggang motorsikal yang sedang berteduh dari hujan di bawah jambatan. Kenderaan-kenderaan tersebut juga turut merempuh beberapa buah lagi motorsikal yang diletakkan di Lorong Kecemasan dan menyebabkan seorang wanita cedera dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan sepanjang 6 kilometer berikutan Lorong Kecemasan dan Lorong Kiri terpaksa ditutup untuk proses tundaan dan pengalihan.

Sejurus semua kerja-kerja pengalihan selesai, kesemua lorong telah dibuka semula kira-kira jam 4:10 petang.

PLUS amat memandang serius kejadian seumpama dan akan mengadakan kajian terhadap semua ciri-ciri keselamatan di lokasi penunggang motorsikal berkumpul dan berteduh di lebuh raya agar kejadian ini tidak berulang.

Untuk makluman, pada ketika ini terdapat lebih daripada 184 lokasi berteduh yang disediakan khas untuk penunggang motorsikal di sepanjang lebuh raya PLUS. Semua tempat berteduh ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti disediakan di belakang rel penghadang dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, PLUS turut mengambil peluang ini untuk menasihatkan penunggang motorsikal supaya mengelak daripada berkumpul dan berteduh di bawah jambatan daripada hujan di Lorong Kecemasan. Ini memandangkan mereka amat terdedah kepada risiko dirempuh oleh kenderaan lain selain menghalang laluan terbabit.

Sebaliknya, PLUS menasihatkan agar penunggang motorsikal menunggu dan meletakkan motorsikal mereka di belakang rel penghadang atau di tempat-tempat berteduh yang disediakan atau di kawasan rehat dan hentian sebelah untuk keselamatan ketika berteduh daripada hujan.

 
PLUSLine: 1-800-88-0000
Toll Rates

 

 3plusmiles

 

 twitter @kembara plusicon-twitter

travelsmarter