PLUS MALAYSIA BERHAD

Media Releases
Home > Media > PENALTI LJT UNTUK BENDUNG KEGIATAN MANIPULASI KAD TRANSIT TOL

PENALTI LJT UNTUK BENDUNG KEGIATAN MANIPULASI KAD TRANSIT TOL

toll2Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh Yang Ditetapkan atau 'Long Journey Time' (LJT) yang dikenakan kepada sesetengah pengguna lebuh raya yang dilaksanakan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merupakan salah satu daripada langkah yang terpaksa diambil bagi membendung dan mengatasi kegiatan manipulasi kad transit tol di beberapa laluan yang dikenalpasti di lebuh raya kendalian PLUS.

Berdasarkan pemantauan dan kajian syarikat ini, kegiatan manipulasi kad transit tol sering dilakukan oleh sesetengah pengguna lebuh raya yang tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi yang dikenalpasti di lebuh raya.

Di antara taktik yang digunakan oleh pihak-pihak tersebut adalah seperti menukar, menyimpan dan manipulasi kad transit tol dan sebagainya. Berdasarkan rekod kami, jumlah kegiatan manipulasi kad transit tol semakin meningkat setiap tahun.

Justeru itu, bagi membendung kegiatan tersebut, penalti LJT terpaksa dikenakan kepada transaksi tol di mana waktu masuk dan keluar daripada lebuh raya adalah meragukan berdasarkan pada satu formula atau pengiraan yang telah ditetapkan.

Penalti LJT boleh dikenakan kepada pengguna lebuh raya yang melebihi tempoh perjalanan dari satu plaza tol masuk hingga ke satu plaza tol di laluan tol sistem tertutup (di mana pengguna perlu mengambil kad transit ketika memasuki lebuh raya dan menyerahkan kad transit ketika membuat bayaran di plaza tol keluar). Pengiraan tempoh perjalanan bagi perjalanan tersebut adalah berdasarkan satu had kelajuan yang telah dikenalpasti.

Walau bagaimanapun, penalti LJT tersebut hanya boleh dikenakan sekiranya pengguna gagal memberi alasan/bukti yang munasabah apabila melebihi tempoh perjalanan yang telah ditetapkan kepada petugas tol ketika membuat bayaran di plaza tol keluar.

PLUS mempunyai rekod tentang semua kejadian kesesakan, kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya, kemalangan, kerosakan kenderaan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pengguna melebihi tempoh perjalanan mereka di lebuh raya. Rekod tersebut dirujuk dan disemak oleh petugas tol sebelum penalti LJT boleh dipertimbangkan dan dikenakan.

Sebagai contoh, perjalanan mengikut satu kadar kelajuan yang dikenalpasti di antara Plaza Tol Gurun dan Pendang lazimnya hanya memakan masa 30 minit. Jumlah ini akan ditambah sebanyak 2.3 jam (138 minit) dengan mengambilkira kemungkinan pengguna tersebut berhenti rehat di R&R Gurun. Sekiranya pengguna tersebut keluar di Plaza Tol Pendang melebihi tempoh yang dikira dari waktu memasuki plaza tol Gurun tanpa alasan serta bukti yang munasabah, maka penalti LJT boleh dikenakan.

Namun begitu, PLUS akan membayar balik jumlah penalti tersebut seandainya pengguna dapat mengemukakan bukti.

Pihak PLUS juga mengambil kira pengendali gerai-gerai di kawasan R&R dan Hentian Sebelah yang bertugas melebihi tempoh masa perjalanan yang ditetapkan dengan tidak mengenakan penalti LJT.

Pada masa yang sama, pihak PLUS juga sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkaitan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi mengenalpasti langkah-langkah lain yang boleh membendung dan mencegah kegiatan manipulasi kad transit tol dari masa ke masa.

 
PLUSLine: 1-800-88-0000
Toll Rates

plusmiles

 

 

icon-twitter

 twitter @kembara plus

 

 

travelsmarter